Search This Blog

Wednesday, June 1, 2011

4 Isteri, Jagalah Yang Pertama

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya.Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?" Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu."

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburla mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita seringmengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!

KENAPA ENGGAN BERADA DI SAF HADAPAN?

"Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan qurbah adalah makruh"

Satu fenomena yang selalu kita lihat di masjid-masjid, terutamanya hari jumaat; orang kita tidak suka berada di saf hadapan. Jika ada ruang hadapan yang kosong, biasanya orang yang berbetulan dengan ruang itu tidak akan melangkah ke depan, tetapi mempersilakan orang lain untuk mengisi ruang kosong itu.
Ia merasakan tindakannya itu baik kerana mendahulukan orang lain. Sebenarnya, perbuatan itu adalah makruh. Sepatutnya apabila ada ruang kosong di saf hadapan kita, kitalah yang paling utama merebut ruang itu dari orang lain.

Firman Allah (bermaksud); "Maka berlumba-lumbalah kamu untuk melakukan kebaikan" (al-Baqarah; 148).
Sabda Nabi s.a.w.; "Jika kamu mengetahui besarnya pahala yang ada di saf hadapan, nescaya kamu akan merebutnya sekalipun terpaksa mengundi (untuk mendapatkannya dari orang lain)" (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a..

Dalam kaedah Fiqh, ada dinyatakan; "Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan-amalan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) hukumnya adalah makruh. Adapun dalam menerima pemberian, maka memberi keutamaan kepada orang lain adalah digalakkan".

Kaedah Fiqh ini memberi pengertian; jika kita ada peluang untuk melakukan amalan kebaikan/kebajikan, rebutlah peluang itu dan jangan menyerahkannya kepada orang lain kerana kita yang amat memerlukan pahala dari amalan itu.
Kita tidak mengetahui; apakah pahala yang kita ada sudah mencukupi atau tidak? Kerana itu, kita perlu merebutnya. Sebaliknya pula dalam menerima pemberian; kita digalakkan mengutamakan orang lain.
Contohnya; ada orang datang membawa makanan untuk kita dan kawan-kawan bersama kita. Maka ketika itu, kita disunatkan mempelawa kawan-kawan kita untuk lebih dulu mengambilnya, kemudian barulah kita mengambilnya.

Luka di hati siapa yang tahu

~PAKU DI HATI~
Begini kisahnya..
Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.
‘Untuk apakah paku-paku ini ayah?’ tanya pemuda tersebut. ‘Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahanmu’ jawab ayahnya.
Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan.
Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.
Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut.
Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.
Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata ‘Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini.
Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatan mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.
‘Keluarga dan sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan. Mereka juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.

’Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda….
It’s better to be silent & be thought a fool, than to speak & remove all doubt.. -Abraham Lincoln-

Orang akan melupakan apa yang kamu katakan…..
Orang akan melupakan apa yang kamu lakukan….. ..
Tetapi, orang TIDAK akan pernah lupa bagaimana kamu membuat mereka begitu bererti.

sumber - http://cikten.merepek.com/2009/10/luka-di-hati-siapa-yang-tahu.html